DUA ‘hero Malaya’ ini memulakan langkah lakonan mereka pada usia masih mentah. Jika Shaheizy Sam dikenali dengan telefilem menyayat hati, Pa’e pada 1998 ketika usia 12 tahun, pastinya Mohammad Syafie Naswip pula menerusi filem Mukhsin.
Diketengahkan pengarah tersohor negara, Allahyarham Yasmin Ahmad pada 2007, ketika itu Mohammad Syafie baru berusia 15 tahun. Kini, Shaheizy dan Syafie juga sudah membuktikan bakat lakonan masing-masing menerusi anugerah dimenangi.
Shaheizy menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) tahun lalu dan Pelakon Lelaki Terbaik di FFM24 baru-baru ini. Manakala Syafie pula menang Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (FFM20) serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM22).
Bagaimanapun, dari aspek populariti nyata lebih berpihak kepada Shaheizy kerana dinobatkan Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tahun lalu. Ia sekali gus kejayaan berganda buatnya yang makin menonjol dalam lakonan.
Berpaksikan kecemerlangan yang sudah terbukti itu, Shaheizy dan Syafie kini disatukan sebagai adik beradik dalam filem Songlap arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina yang diterbitkan secara bersama produksi Primeworks Studios Sdn Bhd dan Red Films Sdn Bhd.
Walaupun pertama kali bergandingan di filem, sama ada Shaheizy atau Syafie, mereka saling ‘memberi’ dalam tuntutan watak masing-masing. Bahkan, tiada masalah juga buat mereka membentuk keserasian serta mengakui selesa bekerja antara satu sama lain.
Menurut Shaheizy atau mesra dengan panggilan Sam, dia seronok bekerja dengan Syafie biar pun hubungan mereka tidaklah begitu rapat sebagai sahabat baik. Bagaimanapun, katanya Syafie memang seorang pelakon yang berbakat kerana dia mudah membentuk kerjasama.
“Biarpun hubungan kami tidak rapat, tetapi atas dasar urusan kerja, Syafie memberi ruang kepada saya untuk masuk ke dalam dirinya. Ia sekali gus membantu menghidupkan lakonan kami terhadap watak Am yang saya bawa dan dia pula sebagai Ad.
“Jujur saya katakan, tidak semua pelakon boleh melakukan seperti Syafie yang memudahkan gandingannya selesa, serasi dan boleh menghayati watak bersama. Dalam soal ini, apabila mendapat gandingan yang bagus, saya menjadi bertambah yakin.
“Lakonan ditonjolkan juga ikhlas dan tulus mengikut apa yang diinginkan skrip. Bahkan, saya juga berasakan lakonan yang dipaparkan dalam Songlap lebih ‘terpelihara’. Sehubungan itu, saya sangat mengharapkan penonton akan berpuas hati,” katanya.
Aktor kacak berusia 29 tahun yang begitu laris membintangi pelbagai genre ini, memaklumkan Songlap ialah filem yang jujur. Ia mengangkat kisah benar berkaitan sindiket penjualan bayi yang memang berlaku dalam kehidupan realiti masyarakat.
Songlap yang turut dijayakan Sara Ali, Omar �Abdullah, Rozie Rashid, �Normah Damanhuri dan Hasnol Rahmat bakal ditayangkan di pawagam pada 15 Disember ini. Filem lakonan Sam yang turut menanti tayangan, 8 Jam, Adnan Sempit 2, Nongkrong dan Aku Ada Kau Ada.
Menyedari usia yang makin meningkat, sejauh mana pula perancangan Sam dalam kehidupan peribadinya? Apakah anak bongsu dramatis Khaty Fauziah ini sudah bersua calon sesuai untuk menjadi teman hidup? Menjawab pertanyaan ini, dia yang kini tampil berjambang berkata, jadualnya terlalu padat.
“Saya terlalu selesa dengan kerja sekarang ini dan tiada masa untuk mencari cinta. Justeru, saya tidak memikirkannya dan biarlah soal jodoh ini ditentukan Tuhan. Sampai masa ditetapkan, saya yakin dan percaya akan bertemu juga dengan jodoh itu.
“Sebagai manusia biasa, saya juga mempunyai impian untuk memiliki keluarga sendiri. Cuma, sekarang sukar untuk saya memaklumkan lebih lanjut kerana tumpuan serta komitmen saya hanya pada karier. Apapun, saya bersyukur keluarga sangat memahami,” katanya.
Pernah muncul juga dengan kumpulan MOB yang mengetengahkan irama hip hop, Sam berkata, kerjaya nyanyian padanya kini sudah menjadi kenangan. Ujarnya, biarpun tawaran untuk menyanyi masih diperoleh tetapi dia yang tidak bersedia untuk terima.
Syafie berusaha atasi rasa gugup
Selesa merendah diri, Syafie berkata dia masih terlalu baru dalam industri lakonan tanah air. Katanya, banyak lagi ilmu yang perlu ditimba daripada pelakon berpengalaman seperti Shaheizy Sam. Pengalaman adalah kayu pengukur antara dia dan Shaheizy
Biarpun pernah bergandingan dengan Shaheizy dalam telefilem Alahai Cicit Atuk, tetapi ketika itu babak membabitkan mereka tidak banyak. Justeru, Syafie sendiri tidak berasa terlalu gugup beraksi di sisi Shaheizy yang sangat dihormatinya.
“Namun, situasi itu nyata berbeza dalam Songlap kerana kami berdua adalah teraju utama dan paling merisaukan apabila kami memainkan watak adik-beradik. Shaheizy seorang pelakon yang bagus, jadi siapa yang tidak akan berasa gementar.
“Ditambah pula watak Ad lakonan saya sangat mencabar. Ia banyak bermain dengan emosi dalaman yang memerlukan saya banyak berbincang dengan pengarah dan pelakon yang terbabit dalam filem ini untuk mendapatkan pandangan mereka.
“Tak dinafikan, ketika mendapat tawaran untuk berlakon filem ini hati saya berbelah bahagi sebenarnya. Saya rasa mahu menolaknya kerana takut dengan tuntutan penghayatan watak yang berat. Ini kerana, saya seorang remaja biasa yang gemar duduk di rumah.
“Saya pun tidak pernah terbabit masalah apatah lagi, perihal menjual bayi. Jadi, semestinya sukar untuk saya menjiwai watak Ad itu. Justeru, bagi mendapatkan mood yang sesuai, saya ambil inisiatif menonton filem The Reader serta membuat tinjauan di sekitar Chow Kit,” katanya.
Menurut Syafie, selain itu dia juga banyak bertanya pada rakan-rakan dan berkongsi kisah yang mereka tahu �mengenai penjualan bayi. Ujarnya, dia memberanikan diri menerima juga tawaran filem Songlap kerana terpikat �dengan jalan cerita yang berbeza.
Berusia 18 tahun dan kini melanjutkan pengajiannya dalam tingkatan enam, Syafie berkata sekarang, komitmen utamanya adalah pelajaran untuk jaminan masa depan. Justeru, jika ada tawaran berlakon pun, dia hanya terbabit pada penggambaran hujung minggu.
Katanya dia mahu lebih dulu mengejar cita-cita untuk berjaya dalam pelajaran. Oleh itu, dia lebih selesa jarang menerima tawaran demi pendidikan. Katanya dia mahu berusaha dan melakukan sebaik mungkin dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) nanti.
PROFIL
NAMA: Shaheizy Sam Abdul Samad
PANGGILAN KOMERSIAL: Shaheizy Sam
TARIKH LAHIR: 4 September 1982
USIA: 29 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KARIER: Pelakon
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak bongsu daripada lima beradik
DRAMA/ TELEFILEM: Antaranya Pa’e, The Son, Elly, Noda Semalam, Bisikan Hati, Graduan, KL Menjerit, Ali Din, Seiras Maya, Kasanova XXL, Impak Maksima, Jangan Pandang Belakang
FILEM: Sama Tapi Tak Serupa, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Syurga Cinta, Jangan Pandang Belakang Congkak, Adnan Semp-it, Niyang Rapik, Evolusi KL Drift 2, Ngangkung, Kongsi, Sekali Lagi, Songlap
ANUGERAH: Pelakon Filem Lelaki Popular ABPBH2010, Bintang Paling Popular ABPBH2010, Anugerah Yasmin Ahmad (Anugerah Skrin 2010), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM23), Pelakon Lelaki Terbaik (FFM24)
PROFIL
NAMA: Mohammad Syafie Bin Naswip
PANGGILAN KOMERSIAL: Syafie
ASAL: Selangor Darul Ehsan
TARIKH LAHIR: 2 Ogos 1992
USIA: 18 tahun
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak tunggal
KARIER: Pelakon, Pelajar
DRAMA/TELEFILEM: Antaranya Impian, Ilham Suci, Dosa Semalam, Kasih Tak Terucap, Takbir Suci 2, Soulful Finding, Manja, Alahai Cicit Atok, Ustaz Kecil, Seluhur �Nazar, Demi Masa, Dunia �Batinku, Biang Lala Di Kaki Langit, A Untuk Abah, Melukut Kasih �Di Kaki Santubung, Hero Komik, Jidin, Keliwon
TEATER: P Ramlee The Musical (musim 1) �Titik-Titik Perjuangan 1, Titik-Titik Perjuangan 2, Gelanggang Tok Wali
FILEM: Mukhsin, Talentime, Nur Kasih The Movie, Songlap
ANUGERAH: Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2007, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (FFM20) Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM22)
No comments:
Post a Comment