Tanda aras Syafie, Elfira
ANAK muda dengan nama pentas Syafie Naswip dan Elfira Loy ini sudah terjebak dalam 'cinta' sejak zaman kanak-kanak lagi. Kecintaan yang mereka tumpahkan itu pula bukan sahaja merendang bahkan hasilnya sudah terjual di mata peminat masing-masing.
Syafie diperkenalkan menerusi Mokhsin, manakala Elfira mencipta nama menerusi telefilem Qalisha. Ditimang-timang oleh industri, membesar dan terdedah dengan lakonan dalam ruang berbeza, tanpa sedar hari ini mereka sedang melintasi zaman remaja dan hampir matang dalam lapangan yang mereka cintai - lakonan.
Tidak sekadar pujian mengatasi kerja yang diberi, kedua-dua pelakon kecil fizikal yang besar jiwanya ini penyandang anugerah dalam industri. Elfira baru diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2010 begitu juga Syafie, sudah dua kali naik pentas. Syafie menjulang Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada penganjuran ke-22.
Masuk usia 18 tahun buat Elfira manakala Syafie menginjak ke angka 20 tahun - satu peralihan yang subjektif untuk dihitung jarak evolusinya berbanding usia tahun lepas. Namun, secara rutin hariannya, tahun ini mereka sudah bebas daripada bangku sekolah. Tamat Sijil Tinggi Persekolahn Malaysia (STPM) buat Syafie, manakala si manis yang mesra dibahasakan El lega seketika. Sementara menunggu keputusan peperiksaan, tiada lagi tuisyen kerana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah selesai. Tahun bebas buku rujukan ini mahu digunakan sebaik-baiknya untuk terbang lebih tinggi, lebih jauh menggapai impian untuk berlakon.
Belajar jadi dewasa
"Saya cuma sedang belajar bagaimana hendak bawa diri sebagai gadis 18 tahun pula. Rasanya tak ada banyak beza kecuali tak perlu ulang kaji. Cuma berdebar menunggu panggilan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Untuk belajar lagi, mungkin kolej, rasanya Tingkatan 6 bukan tempat saya," ujarnya berderai tawa bercampur debar.
Bersambung pula bicara si jejaka yang masih kebal sifat pemalu, katanya yang membahasakan diri sebagai Ayie: "Sudah setahun setengah saya berehat panjang daripada lakonan. Tahun 2010 saya cuma berlakon sebulan untuk Songlap dan seminggu untuk Nur Kasih The Movie. Jadi, tahun 2012 ini saya boleh beri sepenuh komitmen untuk berlakon. Sekarang masa untuk kumpul duit. Kalau ada rezeki, bulan September nanti saya mahu masuk universiti."
Memasang cita-cita menjadikan Universiti Teknologi Mara atau Universiti Malaya sebagai menara gading pilihan, kata Ayie lagi: Kalau tak berjaya ke universiti sekali pun saya tetap akan memohon ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Saya mahu dalami bidang filem dan penulisan skrip.
Dipuji cemerlang dalam filem Songlap di sisi Shaheizy Sam dan Sara Ali, kata Syafie dia tiada produk baharu kecuali sebuah drama bersiriAmpunkan Dosaku.
"Saya buat watak kecil sahaja, watak Hussin ketika remaja, masa kecil watak itu dijayakan oleh Fimie Don, saya bawa watak semasa remaja dan bila sudah dewasa nanti, ia akan diambil alih oleh Zul Huzaimi," ucapnya sambil berkira-kira tentang dua buah tawaran, satu telemovie berjudul Aku Mahu Terbang dan sebuah drama bersiri remaja yang baru diterimanya.
Kerap jumpa
Mengenalinya sebagai anak didik Allahyarham Yasmin Ahmad, dia diajak bercakap tentang evolusi yang dilalui. Dalam Songlap, aspirasi dan inspirasi Syafie terlihat sebagai kesinambungan kepada watak berbekas yang pernah dilakonkannya.
"Masa dengan Yasmin dulu lain, dia ajar saya ada tiga jenis kerja lakon, internal, projektor dan profesional. Tapi dia pilih karisma kerana tak semua pelakon ada nilai itu. Dia mahu setiap pelakon berlakon pada kadar paling natural. Sekarang saya kena lebih banyak membaca dan banyak berimaginasi. Kalau selama ini selalu bawa watak orang susah sebab muka saya memang muka orang susah, sekarang saya mahu atasi faktor fizikal yang saya ada," ada semangat terluah oleh Syafie walaupun dalam nada rendah diri.
Masih berlegar tentang Songlap, filem pilihan nombor satu para pengkritik filem tahun 2011, pemeran watak Ad ini tersenyum berdasarkan pengalaman yang dilalui di lokasi.
"Pengarah Songlap, Fiza dan Effendee monitor setiap inci pergerakan kami. Dialog dipelbagaikan nada pengucapan semasa sesi latihan, jadi nada dialog yang digunakan dalam filem itu semuanya dirancang. Bahkan setiap tabiat seseorang seperti menggerakkan jari atau menggosok kening ketika bercakap juga kena buang. Kalau ada apa sahaja bahasa tubuh ia harus bersebab. Kerja Songlap sangat teliti, beza sebab selama ini banyak main belasah sahaja bila berlakon," mesra cerita Syafie sementara menunggu Elfira ditatarias.
Tidak pernah berkerjasama dalam mana-mana projek lakonan bahkan fotografi Sensasi Bintang inilah yang pertama menyatukan mereka, namun dua bintang yang sedang bersinar ini langsung tidak kekok, seperti ada hubungan yang telah erat terjalin antara mereka.
"Kami baru kenal tahun lepas, ibu angkat saya memang kawan baik dengan ibu Elfira, jadi kami selalu jumpa, hari raya ke dan kalau ada masalah pasal urusan tawaran, saya memang merujuk kepada emak Elfira, sebab dia ada pengalaman," beritahu Syafie sambil diiakan Elfira yang semakin popular semenjak bergelar bintang eksklusif Astro mulai setahun lalu.
Semakin jadi sebutan gara-gara cinta romantiknya bersama hero sinetron Indonesia, Randy Pangalila dalam Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, Elfira diusik semakin berani. Mungkin sudah cukup umur untuk keluar dari status pelakon kanak-kanak.
Berpelukan
"Saya terkejut juga bila dapat reaksi yang positif daripada peminat, tak ada yang marah bila saya buat adegan romantik, berpelukan dengan Randy. Drama itu sebenarnya drama cinta pertama buat saya, terima kasih buat Micheal Ang yang selalu bagi peluang kepada saya," katanya manja.
Berharap akan ada penerbit yang mahu menggandingkan namanya bersama Syafie, dua pelakon itu mengakui ada persamaan wujudnya mereka menjadi sebahagian pelakon ketika ini.
Seperti berada di kelas untuk belajar mata pelajaran akademik, berada di lokasi juga membuatkan dua remaja itu serius apabila berbicara tentang hidup dan karier. Atas keseriusan itu juga melayakkan pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu bergelar Pelakon Pembantu Terbaik Drama yang diraihnya dalam Anugerah Skrin tahun lepas.
"Pasal anugerah itu juga, saya sebenarnya terkejut sebab selalunya pelakon yang menang anugerah ialah pelakon yang bawa watak serius atau watak yang sedih, tapi saya sekadar bawa watak remaja gotik yang gila-gila sifatnya.
"Tapi, saya tahu lepas ini, lepas menang anugerah orang akan lebih sedar kehadiran saya, mungkin selama ini orang ingat saya nak main-main, sebenarnya tidak.
"Saya berlakon bukan untuk suka-suka, ada sebab mengapa kami di sini. Menang anugerah itu satu lampu hijau untuk saya terus fokus dan beri sesuatu yang berbeza dalam lakonan," serius butiran daripada bibir Elfira membuang seketika sifat keanak-anakannya.
Selain PLKN yang belum ditetapkan tarikh sesi panggilan untuknya, rencana awal tahun 2012 buat Elfira ada saham yang naik berganda. Berkira-kira juga soal meneruskan kontrak sebagai bintang eksklusif Astro untuk tahun berikutnya, anak kedua daripada empat beradik itu sudah disunting sebagai jurucakap terbaharu sebuah jenama kosmetik terkemuka.
"Jadi duta juga satu episod baharu buat saya, proses pemilihan yang dilakukan buat saya gementar sebab senarai akhirnya melibatkan nama yang hebat-hebat belaka. Produk apa saya tak boleh dedahkan kena tunggu pelancaran rasmi tak lama lagi," katanya membayangkan jadual kerja dan promosi yang padat dirancang untuk tahun 2012.
2 comments:
olololo comelnya hehee. Btw, saya dah tgok songlap. Tengok sorang2 sebab p.e tak teman tapi ada Ad. :)
semoga ayie lebih berjaya dalam lakonan selepas nyh,amiinn ;)
Post a Comment