Bintang Keseluruhan: 4
Pelakon: 4.5
Plot: 4
Sinematografi: 4
Tonton filem ini jika anda suka: "City Of God" (2002)
Pada tahun 1985, Faizal Hussein ataupun Roy dalam filem "Gila-Gila Remaja" memperkenalkan tarianbreakdance kepada pengunjung sinema tempatan. Penghujung 2011, Syafie Naswip ataupun Ad memperkenalkan tarian itu sekali lagi kepada kita dengan menyimpan harapan untuk memenangi wang tunai RM50 ribu untuk menyara hidup tetapi akhirnya terpaksa melibatkan diri dalam sindiket penjualan bayi bersama abangnya, Am yang dilakonkan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24, Shaheizy Sam.
"Songlap" mengisahkan dua beradik yang menempuhi cabaran hidup bersama-sama tetapi mempunyai perspektif berbeza sehinggalah Ad bertemu Hawa (lakonan Sara Ali). Pasangan suami isteri Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak berjaya menyampaikan kisah gelap yang berlaku di kota Kuala Lumpur dengan pendekatan yang berlainan jika dibandingkan dengan filem-filem tempatan yang berunsur jenayah ataupun budaya gangster sebelum ini.
"Songlap" adalah antara salah satu filem yang berupaya untuk membuat penonton berasa tidak senang untuk duduk kerana olahan cerita terasa sangat real dan setiap pelakon berjaya menghayati watak mereka dengan baik sekali.
Shaheizy Sam membuktikan kepada kita yang dia layak untuk mempertahankan anugerah Pelakon Lelaki Terbaik sekali lagi. Watak-watak sampingan yang terdiri daripada bapa ayam sehinggalah ke kaki judi yang sentiasa kontrol hensem juga turut membantu dalam menghiburkan penonton. Boleh dikatakan setiap watak, walaupun kecil, banyak membantu dalam membentuk satu kisah yang sangat menarik.
Seperti Suzi di dalam "Gila-Gila Remaja" (nota: pengulas adalah seorang peminat filem 80-an dan juga motorsikal RXZ), kedatangan Hawa sebagai mangsa perdagangan haram merupakan turning point dalam kisah ini sehinggakan berlaku konflik antara dua-beradik ini dan mereka harus menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.
Penyampaian kisah dua-beradik bertambah menarik serta mendebarkan dengan bantuan sinematografi yang sesuai dengan jalan cerita ini. Seperti filem-filem terbitan Red Communications yang terdahulu, aspek penyampaian visual; dari props ke pengarahan seni dan gerak kamera sememangnya telah diberi perhatian dengan penuh teliti.
"Songlap" menampilkan muzik latar oleh artis yang bukan dari arus muzik perdana (Couple, The Rebel Scum) tetapi pemilihan muzik tersebut kena pada tempatnya. Filem ini bukan menyajikan hidangan lazat kepada mata dan minda, tetapi turut memuaskan nafsu pendengaran dengan skor muzik ala "Friday Night Lights" oleh Loque (MonoLoque / Butterfingers) yang berjaya mengangkat jalan cerita ini ke tahap yang lebih tinggi.
Secara menyeluruh, "Songlap" adalah sebuah filem tempatan yang menjanjikan kelainan dan sesuai ditonton bersama keluarga (pastikan tiada yang berumur bawah 18 tahun), kawan-kawan ataupun keseorangan.
2 comments:
Wahh, tahniah la ek :D
nak tgkk! sbb utama sebab cite ni buat pnggambaran depan kolej akak =)
Post a Comment